PORTAL SEKOLAH SK.NANGA TRUSA
Click to set custom HTML

LATARBELAKANG SEKOLAH

          Sekolah Kebangsaan Nanga Trusa telah mula beroperasi pada tahun 1966.Ia mempunyai kawasan seluas 2.95 ekar atau 1.194 hektar. Sekolah ini terletak kira-kira 40 km. dari pekan Kapit. SK. Ng. Trusa, Kapit bernaung di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Kapit. Perjalanan dari pekan Kapit ke sekolah ini mengambil masa 3 hingga 4 jam tertutamanya pada musim kemarau. Jenis pengangkutan yang digunakan hanyalah perahu panjang sahaja. Sekolah ini tidak dapat dihubungi melalui telefon. Perjalanan dari pekan Kapit menyusuri Sungai Rejang selama 45 minit kemudian masuk Sungai Belawai selama lebih kurang 2 hingga 3 jam dan terpaksa menarik perahu akibat arus sungai yang terlalu cetek.

            Guru Besar yang pertama mentadbir sekolah ini ialah En. Harrison Chukan iaitu pada tahun 1966 hingga 1970. Pada ketika itu pelajarnya seramai 24 orang sahaja. Bangunan sekolah rata-ratanya dibina secara bergotong-royong oleh penduduk-penduduk tempatan.

           ‘NaTrus’ ialah Akronim bagi sekolah ini yang bermaksud Na (Nanga) dan Trus (Trusa). Manakala Cogan kata sekolah ini ialah ‘Terus Maju’ Pada tahun 2003 sehingga kini,  banyak perubahan telah berlaku, termasuklah keadaan fizikal dan bangunan sekolah, infrastruktur, dan lain-lain kemudahan seperti kemudahan Schoolnet

            . Seperti pada 31 Mei 2010, sekolah ini mempunyai 15 orang guru, 9 orang anggota staf sokongan dan 122 orang pelajar dari Tahun 1 hingga 6. Manakala pelajar prasekolahnya seramai 20 orang yang terdiri dari kanak-kanak yang berusia 5 dan 6 tahun.  Kategori sekolah ini ialah Gred B. Semua pelajarnya tinggal di asrama. 100% pelajarnya adalah terdiri daripada kaum Iban.

            Antara pencapaian prestasi UPSR yang tertinggi pernah dicatatkan pada tahun 2007 iaitu 76.47%. Di bidang kokurikulum pula sekolah telah berjaya menghasilkan seorang pemain Bolasepak hingga ke peringkat kebangsaan dalam Pertandingan Bolasepak antara Asrama terbilang seluruh Malaysia pada tahun 2008. Nama pemain tersebut ialah adik Alias Anak Muling.

            Pekerjaan ibu bapa pelajar ialah petani dan ada yang bekerja di Kem Pembalakan. Hanya sebilangan kecil yang berkhidmat dengan kerajaan.

            Pada awal tahun 2003, sehingga sekarang sekolah ini telah dipimpin oleh En. Nyalin Anak Sabang. Beliau berbangsa Iban dan berasal dari Daerah Song. Sekarang beliau sedang mengikuti Program Pensiswazahan Guru Besar di UiTM Kota Samarahan, Kuching Sarawak dalam jurusan “ Bachelor In Education Management” Sesi 2008 -2011. Beliau berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai aspek pada suatu hari nanti.